Followers

Monday, March 29, 2010

Selamat Bersara.....



Hari ini (29 Mac 2010), 3 orang guru SK Demit 2 dengan rasminya menamatkan tugas masing-masing sebagai seorang pendidik. Mereka ialah Pn Hjh Wan Rasiha bt Wan Teh, Mr Leh Wee Eng dan isterinya Mdm Lee Siew Chu. Semalam, suatu majlis jamuan makan tengahari telah diadakan di Hotel New Pacific dan dihadiri oleh semua guru dan kakitangan SK Demit 2.




Kesemua mereka merupakan guru tahun 6 dari subjek Sains dan Bahasa Inggeris. Dan sudah tentu, tanpa keraguan... mereka sememangnya terdiri dari guru-guru yang amat dedikasi dan berjuang untuk kecemerlangan murid-murid SK Demit 2.

Upacara Sambutan Persaraan yang meriah telahpun berlangsung pada hari terakhir mereka di SKD2 dengan perarakan bunga manggar dan tayangan klip video tentang penglibatan mereka semasa menjadi pendidik. Sesungguhnya, Jasa kalian akan tetap kami kenang selamanya.

Makan tengahari di New Pacific Hotel


Mr & Mrs Leh dan Pn Hjh Rasiha diarak dengan menggunakan bunga manggar ke Laman Bestari.

Mr Leh Wee Eng memberikan pesanan dan ucapan terakhir sebagai seorang pendidik kepada murid-murid SK Demit 2




Pn Hjh Wan Rasiha menerima hadiah dari murid-murid SK Demit 2

Wednesday, March 24, 2010

Program Titian Kasih



Malam ini berlangsung satu lagi program anjuran Unit Bimbingan Kaunseling iaitu Program Titian Kasih Ibubapa, Guru dan Murid-murid tahun 5 dan 6 SK Demit 2. Program malam ini telah dihadiri oleh 90 % ibubapa/penjaga dan merupakan suatu program yang sukses.

Program ini lebih kepada ilmu keibubapaan dalam mendidik anak dengan cara yang betul dan terbaik. Sememangnya,mendidikanak adalah memerlukan tumpuan dan kerjasama yang jitu dari ibubapa.

Sekalung tahniah buat unit Bimbingan dan Kaunseling yang menganjurkan program ini dan perghargaan juga buat YBrs Tuan Hj Mohd Zarawi b Mat Nor dari IPGM Kampus Kota Bharu yang sudi menyampaikan ceramah pada malam ini.

Sebahagian dari ibubapa yang hadir dalam Program Titian Kasih SK Demit 2 tahun 2010.

Monday, March 22, 2010

Selamat Bersara


Akhir bulan mac ini, SK Demit 2 akan kehilangan 3 orang guru yang sungguh dedikasi dengan tugas masing-masing. Mereka akan berpencen pada 31 Mac 2010. Mereka ialah (Guru BI) Mr Leh Wee Eng, isterinya Mdm Lee Siew Chu dan (Guru Science) Pn Hjh Rasiha bt Wan Teh.

Memandangkan hari isnin, 29 Mac merupakan hari terakhir mereka di SK Demit 2, kami pihak Warga SK Demit 2 akan mengadakan suatu majlis ringkas di sekolah bagi meraikan mereka. Murid-murid juga dijemput untuk memberi hadiah kepada mereka bertiga sekiranya tidak membebankan. Hadiah bukan ukuran kepada ilmu yang dicurahkan. Ilmu yang dicurahkan itu akan kekal sebagai suatu Kenangan Yang Terindah.

Mr Leh yang masih segak walau umur menjangkau lebih separuh abad.

Dadah oh Dadah !

Dadah.... oh, Dadah !

Suatu Ceramah Pendidikan Pencegahan Dadah telah berlangsung di laman Bestari SK Demit 2 pada 23 Mac, 2010. Ceramah ini adalah anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling SK Demit 2 dengan kerjasama dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan Daerah Kota Bharu.

2 pegawai dari Agensi AADK Daerah Kota Bharu iaitu En Ahmad Amin b Ramli dan YB Raja Azhar b Raja Ali telah meluangkan masa memberi ceramah dan membimbing murid-murid ke arah hidup bahagian tanpa dadah.

Dadah bermula dengan menghisap rokok. Suatu ungkapan menarik dari salah satu slaid power point yang ditayangkan kepada murid-murid ialah.....

" Wah, Setelah lama aku menghisap rokok, kini aku berjaya menjadi seorang penagih Dadah"

Inikah yang kita mahu. Oleh itu, jadikan sekolah kita bukan sahaja bebas dari dadah, malah bebas juga dari asap rokok......
Pameran Anti Dadah juga dijadikan satu saluran untuk mengetahui bahaya dadah.

Murid-murid tekun mendengar ceramah dari AADK daerah Kota Bharu.

UPSR 5A


Foto bulan ini ialah adik Mohd Hazrul Naim dari kelas 6 Gemilang. Beliau adalah di kalangan 20 murid target 5A dalam UPSR 2010. Dalam ujian UBB1 bulan Febuari baru-baru ini, beliau satu-satunya murid yang mencapai A dalam semua 5 subjek UPSR sekaligus mencapai target 5A. Beliau akan diberikan motivasi berbentuk wang tunai bernilai RM20 sumbangan Kedai Sekolah.

Kepada sesiapa yang nakkan RM20 itu, berusahalah dengan lebih tekun lagi menjelang UBB2 April nanti.

Apa yang kita usahakan hari ini bukan untuk orang lain, melainkan diri kita dan ayahbonda tersayang. Kami guru-guru SK Demit 2 hanya mampu mengajar dan berdoa, selebihnya bergantung kepada anda sendiri.

Terus Berjuang.....


Meskipun sudah banyak kali kecewa, namun SK Demit 2 terus menghantar 'angkatan perangnya' ke medan tempur demi untuk meraih kecemerlangan.

Kali ini ianya melibatkan peserta-peserta olahraga. Mereka bertolak ke SK Parang Puting seawal 7.45 pagi lagi untuk mengambil bahagian dalam Kejohanan Olahraga Jemputan QIT Pengkalan Chepa.


Bak kata pepatah, Belum Cuba Belum Tahu.... maka 'skuad tempur' SK Demit 2 bersama-sama pegawai dan Guru Pengiring akan berusaha bersungguh-sungguh demi mengharumkan nama SKD2.


SKD2 boleh...!!

SEGAK


Program Penilaian Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan atau SEGAK telah dirancang selari dengan sukatan pelajaran Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan Sekolah Rendah dan Menengah.

Kenapa SEGAK? Gaya hidup masyarakat Malaysia kini bertambah sedentari. Kecergasan yang optimum boleh membantu murid dalam melaksanakan aktiviti harian tanpa berasa letih dan lesu. Selaras dengan itu, satu aktiviti kecergasan yang terancang perlu dilaksanakan dengan sempurna mengikut prosedur yang ditetapkan bagi setiap item ujian dan dinilai mengikut norma yang telah ditetapkan. Dengan ini, satu penilaian yang standard dapat diukur.


Ujian ini boleh dijalankan semasa atau di luar waktu pengajaran Pendidikan Jasmani. Ujian ini juga mesti dilengkapkan pada hari yang sama. Guru melatih murid terlebih dahulu dan murid digalakkan membuat ujian secara individu, bersama rakan atau keluarga mereka. Ujian ini mesti dilengkapkan mengikut urutan secara berterusan. Urutan item bateri ujian adalah seperti berikut;

# Indek Jisim Badan (BMI)
# Naik Turun Bangku ( 3 minit )
# Tekan Tubi ( 1 minit )
# Rengkuk (1 minit )
# Jangkauan Melunjur


Maka, bagi merealisasikan Program SEGAK ini, Guru Besar SK Demit 2 telah membenarkan 2 orang guru iaitu Cikgu Ghazali dan Cikgu Muhammad Nor untuk merancang dan seterusnya melaksanakan Program ini secara bersepadu selama 3 hari iaitu Isnin (22 Mac) bagi murid2 tahun 4, Selasa (23 Mac) bagi murid2 tahun 5 dan Rabu (24 Mac) bagi murid2 tahun 6.

Murid-murid melakukan aktiviti SEGAK. Atas sekali ialah Jangkauan Melunjur, diikuti Bangkit Tubi dan gambar bawah Naik Turun Bangku.

Sunday, March 21, 2010

Selamat Datang




AHLAN WASAHLAN
SK Demit 2 hari ini (21 Mac, 2010) telah menerima kehadiran Guru Penolong Kanan (Pendidikan Khas) yang telah ditukarkan dari SK Dato’ Hashim 1 ke SK Demit 2 berkuatkuasa pada 16 Mac, 2010. Beliau yang dimaksudkan ialah YM Tg Nor Hazila bt Tg Harun. Kelas Program Intergrasi Pendidikan Khas (PIPK) yang sudahpun berjumlah 4 kelas, kini menerima seorang guru Penolong Kanan yang jelas berwibawa dan penuh pengalaman. Semoga dengan kehadiran beliau ke SK Demit 2 ini, akan mengukuhkan lagi halatuju dan matlamat PIPK kearah kecemerlangan.

SK Demit 2 juga hari ini telah menerima kedatangan 4 orang guru pelatih dari IPG Kota Bharu. 3 dari mereka akan menjadi warga SKD2 selama sebulan bagi melengkapkan kehendak latihan praktikum mereka dalam bidang Pendidikan Khas manakala seorang lagi dalam bidang Matematik.


Guru pelatih IPG Kota Bharu – dari kanan Mohd Nasrul Shafiq b Razali, Nur Madihah bt Amir Ruddin, Hefadatul Husna bt Zakaria (P. Khas) dan Nor Fazila bt Semat (Maths)

Menyorot sedikit tentang Kelas PIPK ini, ia merupakan suatu usaha murni Kerajaan dalam mendidik anak-anak 'penghuni syurga', anak-anak istimewa. Guru-guru terlatih dengan penuh rasa kasih sayang di dada, mendidik tanpa rasa jemu.

Kerajinan guru-guru PIPK ini terserlah dengan Kelas yang teratur dan perancangan p & p yang jitu dan tersusun. Alhamdulillah. Bila GB menyatakan tentang 3 perkara yang perlu diperbetulkan oleh semua manusia iaitu, Thinking (Fikir), turun ke Feeling (Perasaan) dan akhir sekali Action (Lakukan), maka kita kalangan pendidik harus banyak berfikir, merasa dan melakukan semua strategi kearah membentuk insan yang cemerlang. Isyaallah.



TAHNIAH 10X

Kenapa Tahniah 10x ? Tahniah 10x kerana bekas Penolong Ketua Murid SK Demit 2 tahun 2004, Muhammad Ashraf b Othman yang baru-baru ini mengadakan kunjungan hormat ke SK Demit 2 dan bertemu dengan guru-guru, telah mencapai 10A dalam peperiksaan SPM 2009 yang baru diumumkan beberapa hari lalu. Itu pasal la kena tahniah 10x.

Syabas dan tahniah 10x sekali lagi.


Bimbingan dan kaunseling

Menjenguk ke bilik Bimbingan dan Kaunseling, rasa agak terharu dengan perubahan yang agak ketara dan mendadak di situ. Suasana tampak ceria sekali. Perubahan ini pasti berlaku sebaik sahaja SK Demit 2 menerima kunjungan dari 2 orang guru pelatih IPG Kota Bharu yang ingin menunaikan kehendak praktikum mereka dalam bidang Bimbingan dan Kaunseling.
Mereka akan terus berada di SK Demit 2 sehingga 15 April, 2010. Dan sepanjang masa yang ada, sudah pasti bertambah-tambah cerialah bilik itu. Cikgu kaunseling SK Demit 2 iaitu Cikgu Sallehuddin pastinya akan tersenyum lebar sampai ke telinga.

Dari kanan ialah Siti Hajar b Mohd Basir dan Nor Nadira bt Shaari.

Sunday, March 14, 2010

Cuti Pertengahan Semester I

Cuti seminggu adalah sesuatu yang di tunggu-tunggu oleh murid-murid sekolah. Bermula 12 Mac hingga 20 Mac, 2010, murid-murid mula bercuti. Cuti bukan bermakna bermain tanpa henti, menonton TV tanpa had ataupun chatting di facebook .... tetapi cuti sepatutnya digunakan sepenuhnya untuk mengulangkaji pelajaran dengan sendiri. Bersedia untuk kembali selepas 9 hari rehatkan diri di rumah dan macam-macam lagi benda yang berfaedah.

Jangan lupa kembali ke sekolah pada 21 Mac nanti, OK

Cikgu pun gembira bercuti, tapi nama je cuti.... hari-hari kena ngajar kelas tambahan.

Wednesday, March 10, 2010

Maulidurrasul 1431H


Hari ini berlangsunglah perarakan Maulidurrasul 1431H bagi murid-murid SK Demit 2. Tuhan Maha Berkuasa. Kalau kebiasaannya jam 8 pagi, cuaca akan panas terik tetapi hari in hujan telah turun renyai-renyai dan langit redup sekali.

Perarakan ini diketuai oleh Ustaz Yaziz dan dimulakan oleh murid-murid tahun 6 Gemilang. Pelbagai sepanduk dapat dilihat sepanjang perarakan tersebut. Perarakan ini dinilai markahnya dan pasukan kelas terbaik akan diberikan hadiah.
Untuk acara dewan, ia dimulakan dengan bacaan al-Quran oleh adik Arishani dan adik Ilyasa. Acara-acara lainnya termasuklah nasyid dan selawat oleh murid-murid.

Kemuncak dari perayaan Maulidurrasul ini ialah murid-murid SK Demit 2 dijamu dengan nasi gulai lembu semalam.
Meraikan Majlis maulidurrasul ini bukan sahaja untuk kita lebih mengingati Junjungan Besar Nabi Muhammad saw, tetapi juga untuk memupuk kemuafakatan di kalangan guru-guru dan murid-murid.

Kegemilangan murid-murid SK Demit 2 bukan hanya bergantung kepada guru-guru sahaja, malah lebih lagi, murid sendiri.

Semoga pemuafakatan dan kerjasama ini akan memupuk semangat setiakawan dan kesungguhan dalam berusaha demi merealisasikan sebuah kejayaan.
Segak berbaju melayu dan bersamping, blogger bergambar bersama Ustaz Yaziz selepas sahaja Perarakan Maulidurrasul tamat.



Kelas Program Pemulihan Intergrasi Khas (OKU) turut mengambil bahagian dalam perarakan kali ini.


Pelajar Tahun 6 Bestari berarak sambil berselawat ke atas Nabi Muhammad saw

Tuesday, March 9, 2010

Maulidurrasul 1431H


Hari ini adalah hari yang bersejarah buat SK Demit 2 kerana seekor lembu telah tumbang demi sambutan mauliddur rasul peringkat sekolah yang akan diadakan pada 11 Mac, 2010. Seawal jam 9.30 pagi, ustaz Yaziz dengan dibantu oleh pekerja2 sekolah telah menyembelih seekor lembu hasil pakatan guru-guru dan murid-murid SK Demit 2.

Majlis sambutan sebenar Mauliddurrasul yang akan diadakan keesokkan harinya akan menyaksikan perarakan di sekitar Desa Kujid dan sepanjang jalan Sri Panji. Semua murid akan mengambil bahagian dalam perarakan berkenaan dengan diiringi oleh guru kelas masing-masing.

Murid-murid mengalami pengalaman baru dengan menyaksikan lembu disembelih

Guru dan pekerja sekolah bertungkus lumus melapah kulit lembu


PK 1 tekun menghiris paha lembu


Monday, March 8, 2010

Kunjungan Hormat..


Hari ini SK Demit 2 menerima kunjungan dari seorang bekas murid tahun 6, 2004. Beliau yang dimaksudkan ialah Muhamad Asyraf b Othman. Semasa beliau belajar di SKD2, beliau telah dilantik sebagai Penolong Ketua Pengawas dan beliau juga telah berjaya dengan pencapaian 5A.


Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke SMS Machang, Labok dan memperolehi 8A dalam PMR. Kini beliau sedang menunggu keputusan SPM yang akan diumumkan pada hari khamis ini setelah memperolehi 9A dalam peperiksaan percubaan SPM.


Sekalung tahniah diucapkan dan warga SK Demit 2 mengucapkan selamat berjaya dan doa kami agar cita-cita anda untuk menjadi seorang doktor akan terlaksana.

Sunday, March 7, 2010

Cuaca Panas


Hari ini cuaca amat panas. Fenomena apakah ini yang menyebabkan cuaca sebegini panas. Namun, walau cuaca sepanas mana sekalipun, Kelas Serambi UPSR masih diteruskan. Lalu untuk memberikan sedikit suasana yang kondusif kepada murid-murid, saya mengambil keputusan untuk mengadakan Kelas Serambi di Makmal Komputer. Alangkah gembiranya mereka dengan suasana sejuk di Makmal Komputer.

PROTIM

Sebut pasal protein, mesti terbayang kepada kita murid-murid yang tidak cukup zat. Namun, bukan protein ini yang saya maksudkan. PROTIM ialah suatu program pemulihan bagi murid-murid yang gagal untuk menguasai Literasi dan Numerasi pada peringkat Tahap 2 iaitu bagi murid tahun 4, 5 dan 6.

Nah, lihatlah betapa prihatinnya pihak sekolah dalam mendidik murid-murid yang lemah. Meskipun begitu, di rumah ibubapa mestilah turut sama bertanyakan keadaan pembelajaran mereka juga. Jangan biarkan murid ini lepas bebas tanpa pengawasan yang sewajarnya. Guru cuba sedaya upaya untuk mengajar mereka di sekolah, dan menjadi tugas ibubapa untuk memastikan kesinambungan pembelajaran ini berlaku di rumah.

Jika kedua-dua pihak, ibubapa dan guru dapat mengembeling tenaga kearah kecemerlangan murid, maka sudah pasti kegemilangan dapat direalisasikan.

Wednesday, March 3, 2010

LINUS



Program LINUS (Literasi dan Numerasi) ialah suatu program KPM untuk memastikan semua murid di sekolah rendah tidak akan buta huruf. Program ini ialah kesinambungan dari Progam 3M dan KIA 2M. Meskipun begitu, hanya guru-guru yang cemerlang sahaja yang boleh menghadapi situasi ini.
Bayangkanlah, guru-guru tahun 1 ini terpaksa menggunakan masa rehat mereka untuk merealisasikan harapan KPM ini.'


'Tension' adalah perkara biasa bila berhadapan dengan murid-murid sebegini. Jangan jadi stress pula dah la...

Kepada guru-guru ini, tahniah diucapkan kerana kadang-kadang kita mengajar 'anak orang lain' lebih dari anak kita sendiri. Betul tak?

Cikgu Wan Zaini diapit oleh 2 murid LINUS yang dahagakan ilmu...





Tuesday, March 2, 2010

Murid-muridku.....

Baru sebentar tadi, seperti biasa hari selasa malam rabu, aku mengajar kelas tambahan malam di SK Demit 2. Meskipun masih letih kerana baru pulang dari Kejohanan Bola Baling jam 6.30 ptg tadi, aku tetap kembali ke sekolah yang jauhnya 25 km tepat jam 8.00 mlm.

Kerana kesuntukan masa setelah bertugas seharian di sekolah, aku terlupa tentang bahan untuk kelas malam. Jadi, aku hanya mengambil soalan-soalan yang telah aku guna untuk murid tahun 6 tahun-tahun yang lepas.

Apa yang nak ku kongsikan di sini ialah, soalan itu 100% dalam bahasa melayu. Tiada dwi-bahasa dan tiada sikitpun bahasa inggeris. Aku rasa, ok kut pasal kita sedang kembali ke bahasa melayu dari PPSMI. Namun sangkaanku ternyata silap.

Aku terkejut bila beberapa murid bertanya tentang soalan yang ku kemukakan.

Syafiq (antara murid pintar kelas 6G) bertanya tentang makna 'hitungkan'. Aku tertawa kerana tak mungkin murid seperti Syafiq tidak tahu makna 'hitung'. Tetapi, memandang ke wajah tulusnya, aku termanggu. Benarlah, dia tak tahu. Kemudian timbul perkataan 'bundar', 'nilai tempat' dan lain-lain lagi.

Kemudian, Siti Amanina (murid pintar juga), minta tolong 'translate' soalan nombor 8 ke dalam bahasa Inggeris. Apa dah jadi sebenarnya, murid melayu tidak faham soalan matematik dalam bahasa Melayu?

Murid sebenarnya sudah terbiasa dengan istilah-istilah calculate, round-off, quotient, place value, triangle dan lain-lain. Tapi, kita kembali mengundur sebenarnya. Berundur.......

Apa akan jadi dan apa dah jadi? Bagaimana mereka akan menghadapinya 2,3 tahun akan datang bilamana kita kembali ke Bahasa Melayu. Bagaimana pula dengan pelajar sekolah menengah. Mereka lebih banyak didedahkan dengan pelbagai terms dan istilah dalam maths dan science.

Kadang-kadang kita terlalu mengikut perasaan.... Itulah kita sebenarnya...



Bola Baling QIT PC

Sebentar tadi, 2/3/2010 telah berlangsungnya Kejohanan Bola Baling QIT Pengkalan Chepa di mana SK Demit 2 sebagai tuan rumah. Sebanyak 12 buah sekolah telah mengambil bahagian. Kejohanan ini akan berlangsung selama 2 hari dan hari ini adalah perlawanan bagi pasukan lelaki manakala esok adalah perlawanan bagi pasukan perempuan.







Perlawanan akhir menyaksikan pasukan dari SK Panji menentang SK Demit 1. Meskipun pasukan SK Demit 2 gagal meneruskan perjuangan ke perlawanan akhir, namun semangat kesukanan yang ditunjukkan adalah amat membanggakan.




Pasukan SK Demit 2 berbaris mendengar taklimat sebelum Perlawan sulong menentang SK Demit 1 petang tadi.


Peminat dan penyokong setia SK Demit 2